Golf, ekuestrian, gimnastik atau hoki hanyalah segelintir daripada contoh sukan yang kurang sesuai untuk diserap kepada anak-anak ini. Bola sepak sudah tentu pilihan pa­ling popular.

Bagi memberi asas kepada bola sepak, kanak-kanak istimewa ini terlebih dulu diper­kenalkan kepada sukan yang dianggap ‘mini bola sepak’ iaitu futsal.

Selain itu, olahraga, mema­nah dan bola jaring turut me­njadi pilihan untuk mengisi program 1Malaysia 1Hope.

Walaupun sesetengah pihak mugkin melihat program ini sebagai kerja amal, namun hakikatnya Yakeb serius mahu me­lahirkan ja­goan Chow Kit dengan memilih tenaga pengajar daripada kalangan nama-nama besar dalam sukan terpilih.

Bagi siri pengenalan Learn from the Pros, anak-anak Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang mengikuti program ini berpeluang menerima tunjuk ajar daripada bekas nama-nama besar dalam sukan yang terpilih.

Antara yang melatih kanak-kanak istimewa ini adalah Shahrin Majid (bola sepak), Bah Chu Mei (olahraga), Nor Aidah Ariffin dan Fadzlun Abas (bola jaring), Rahman Sidek (badminton) serta Siti Asiah Sudin dari sukan memanah.

Menerusi aktiviti Learn from the Pros, bekas atlet terlibat secara langsung membantu memberi tunjuk ajar serta bim­bingan kepada kumpulan sasar.

Bagi pelajar SBJK, Yakeb dan pengurusan sekolah telah me­netapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mewujudkan pasukan sukan sekolah yang boleh bertanding di peringkat domestik.

Biarpun melahirkan jaguh dalam kalangan anak-anak Chow Kit bukan perkara mudah, namun Yakeb tidak mahu menjadikan kesukaran itu sebagai alasan untuk tidak berusaha.

Pengurus Besarnya, Zuhairi Abdul Manaf berkata, program yang dijalankan memboleh­kan anak-anak ini mendapat pendidikan sukan yang lebih tepat.

“Bukan mudah untuk me­lakukannya. Pendidikan sukan antara perkara asas yang kami berikan dan apabila bekas atlet sendiri yang mengendalikan program pelajar le­bih mudah memahaminya.

“Proses pembelajaran dilakukan langkah demi langkah kerana kami tidak boleh ajar de­ngan banyak pada satu-satu masa kerana khuatir pelajar tidak dapat tangkap apa yang mereka pelajari.

“Aspek utama yang diambil kira dalam pemilihan sukan adalah tempat sukan itu dimainkan serta jantina.

“Futsal kita pilih kerana sukan itu digemari ramai dan mudah untuk dimainkan.

“Bola jaring pula kerana ingin memberi laluan kepada pelajar perempuan menceburi sukan. Memanah dan olahraga seperti lontar peluru dipilih ke­rana ia tidak memerlukan tempat khas yang terlalu besar.

“Pemakaian serta peralatan sukan turut diambil kira. Macam memanah kami mendapat bantuan ISN (Institut Sukan Negara) untuk menggunakan peralatan sukan itu.

“Berdasarkan maklum balas yang saya terima, rata-rata pelajar memiliki bakat dalam memanah, lontar peluru dan merejam lembing, malah mereka boleh diketengahkan,” katanya.