Semalam, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberitahu catatan masa tersebut belum boleh diiktiraf sebagai rekod kebangsaan kerana pihaknya hingga kini belum mendapat dokumen pengesahan daripada penganjur Kejohanan ASA Speed Series 2 di Bloemfontein, Afrika Selatan.

Zaidatul Husniah berkata sekiranya catatan itu tidak dapat diiktiraf sebagai rekod kebangsaan maka dia hanya akan menganggapnya sebagai belum rezekinya lagi.

“Saya tak fikir sangat mengenai perkara ini, kalau tak diiktiraf mungkin tidak ada rezeki tetapi saya akan cuba lagi untuk buat yang terbaik.

“Kini saya mahu fokus kepada perkara lebih penting iaitu Sukan SEA 2017 Ogos ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dengan catatan jaguh dari Pulau Pinang itu gagal diiktiraf sebagai rekod kebangsaan, bermakna catatan G. Shanti iaitu 11.50s yang dilakukan pada 7 Mei 1993 di Kuala Lumpur masih bertahan.

Keputusan berhubung catatan dilakukan oleh Zaidatul Husniah itu hanya akan dapat diketahui selepas Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), London, Ogos ini.

Dalam pada itu, pelari ber­usia 24 tahun berkenaan turut menegaskan ramai sudah me­nyaksikan video lariannya sekali gus masing-masing boleh menilai apa sebenarnya yang berlaku, namun dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak berani cakap mengenai perkara ini sama ada membabitkan masalah teknikal ataupun tidak, tetapi saya tetap percaya catatan saya adalah rekod.

“Ramai yang sudah lihat vi­deo Husniah berlari dan mereka boleh nilai sendiri, lagipun saya sendiri yang berlari dan tahu apa yang berlaku.

“Jadi buat masa ini lebih baik tunggu dokumen daripada pe­nganjur dan selepas itu terserah kepada keputusan yang diambil,” katanya.