SYED SADDIQ
SYED SADDIQ

Katanya, fokus utamanya kini ialah memperbaiki kesilapan sebelum ini dan menambah baik program-program yang mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

Bagaimanapun, beliau akan melihat perkara itu secara terperinci dengan menunggu laporan penuh daripada pihak kementerian sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Saya tidak akan terus hentikan semua program sebelum ini, program Fit Malaysia, Hari Sukan Negara akan diteruskan dan akan ditambah baik selepas saya melihat perinciannya bagi tujuan penambah pembaikan.

“Saya juga tidak mahu fokus kepada budaya mencari kesilapan dahulu dan membalas dendam sebaliknya kita kena perbaiki kesilapan dahulu kerana rakyat ingin tahu apa yang boleh kami lakukan,”katanya ketika ditemui selepas memulakan tugasan secara rasmi, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, pihaknya akan bertemu dengan penggiat sukan di negara ini bagi menentukan hala tuju sukan pada masa hadapan.

Selain itu, pihaknya juga akan menilai semula Program Podium termasuk mewujudkan jaringan keselamatan bagi membela nasib bekas-bekas atlet selepas mereka menamatkan karier.

“Teknokrat-teknokrat sukan perlu memainkan peranan mereka dalam perkara ini kerana kita tidak mahu ahli politik yang ada kepentingan peribadi terlibat,” katanya.-UTUSAN ONLINE