Sebaliknya kata Naib Presiden PABM, Abu Hanipah Ismail, ujian doping yang dilakukan adalah menerusi inisiatif pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum semua atlet angkat berat ber­angkat ke Australia.

“Jika hendak mengaitkan atlet angkat berat Sukan Komanwel 2018 positif ujian doping buat masa ini, kami di PABM sendiri belum menerima apa-apa surat daripada mana-mana pihak berkuasa antidoping dari dalam mahu pun luar negara yang mengesahkan perkara itu.

“Jadi setakat hari ini. kami menafikan atlet angkat berat terbabit. Kalau ada sekali pun (atlet angkat berat didapati positif), kemungkinan adalah hasil ujian doping di dalam negara dan bukannya di Gold Coast.

“PABM tidak akan mengelak atau lari daripada menjawab isu ini. Kami akan segera memang­gil sidang akhbar menjelaskan perkara tersebut jika sudah mendapat pengesahan kerana kamilah juga yang akan menjatuhkan hukuman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak menunggu pengesahan daripada pihak yang bertanggungjawab dalam isu doping ini terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana atlet atau pemenang pingat Sukan Komanwel 2018 yang terbabit.

Sementara itu, satu sumber dalaman memberitahu salah seorang atlet angkat berat Sukan Komanwel 2018 positif ujian do­ping.

Walau bagaimanapun sumber itu tidak mengulas lanjut di mana ujian doping itu diadakan sebelum penemuan bahan terla­rang itu dikesan sebaliknya hanya berkata membabitkan atlet angkat berat sahaja.