Kekalahan 5-7, 3-6 itu bermakna pemain Sepanyol itu bukan sahaja gagal melebarkan rekod 21 perlawanan dan 50 set tanpa kalah di atas gelanggang kegemarannya itu malah bakal kehilangan kedudukan sebagai pemain No. 1 dunia ketika ini.

Kali terakhir Nadal kalah di atas tanah liat ialah dalam Masters Rom tahun lalu, juga kepada Thiem yang sekali gus berjaya menebus kekalahan dalam suku akhir Masters Monte Carlo bulan lalu.

“Saya tidak cukup bagus hari ini. Dia (Thiem) ternyata lebih baik daripada saya. Itu ceritanya.

“Kadangkala kita tidak dapat bermain seperti diharapkan. Ini juga boleh berlaku apabila lawan kita bermain dengan cukup baik,” kata Nadal selepas perlawanan.

Thiem kini muncul antara tiga pemain yang berjaya menewaskan Na­dal di gelanggang tanah liat. Dua lagi adalah pemain Argentina, Gaston Gaudio dan pemain Serbia, Novak Djokovic.

“Saya memang mening­katkan permainan berbanding di Monte Carlo untuk menewaskan Rafa kali ini. Dia menang 21 perlawanan dan 50 set atas gelanggang tanah liat. Jadi saya terpaksa bermain le­bih daripada biasa dan itu berjaya saya lakukan.

“Paling penting pada saya ialah sikap tidak me­ngalah itu membantu saya mengalahkannya,” tegas Thiem yang akan berdepan pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson dalam separuh akhir nanti.

Nadal walaupun kalah kali ini tetapi masih di­letakkan sebagai pilihan untuk menjuarai Terbuka Perancis buat kali ke-11 yang akan bermula bulan depan. – Reuters