Peningkatan yang ditunjukkan jaguh pecut Malaysia itu sejak akhir-akhir ini meletakkannya jauh meninggalkan pelari pecut lain di rantau itu.

“Khairul Hafiz adalah yang terbaik di Asia Tenggara ketika ini. Dengan catatan peribadi yang hebat dalam 100m dan 200m, dia juga antara yang terbaik di Asia,” katanya ketika ditemui selepas latihan di Thammasat University-Rangsit, di pinggir ibu negara ini baru-baru ini.

Dikenali sebagai The Speedy Jantan, pelari berusia 19 tahun itu memegang rekod kebangsaan 100m dan 200m dengan masa 10.18 saat serta 20.90s.

Rekod 100m dilakar tahun lalu, manakala 200m pada bulan lepas.

Jirapong berkata, dia bersaing dengan Khairul Hafiz pada Terbuka Thailand di Bangkok, Mei lalu dan pelari Malaysia itu muncul pemenang.

Namun, dia mengingatkan peminat agar tidak menjadikan keputusan tersebut sebagai ukuran kerana dia tidak 100 peratus cergas ketika itu.

“Saya mengalami kecederaan kaki dalam perlumbaan itu dan tahap kecergasan hanya antara 70 hingga 80 peratus ketika itu.

“Kini keadaan berbeza kerana saya 100 peratus cergas dan sedia mencapai kemuncak pada Sukan SEA,” kata penuntut ijazah lanjutan di Universiti Bangkok.

Jirapong, 24, muncul wira olahraga Thailand pada Sukan SEA 2013 di Myanmar selepas memenangi pingat emas 100m dan 200m.

Namun, dia tetap merendah diri dengan tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam KL2017 yang akan membuka tirai, Sabtu ini.

“Sasaran saya ialah menaiki podium dalam 100m dan 200m,” katanya lagi.

Selain Khairul Hafiz, turut menjadi tumpuan acara perut kali ini adalah Bobby Yaspi dan Iswandi dari Indonesia, selain Le Truong Vinh (Vietnam) selepas juara bertahan, Eric Cray dari Filipina memilih untuk hanya bertanding dalam acara 400m lari berpagar. – BERNAMA