Kesungguhan Negara Gajah Putih itu menghantar 858 atlet ke temasya sukan dwitahunan ke-29 itu membuktikan mereka begitu serius untuk menyekat hajat besar kontinjen Malaysia yang mahu menyinar di bumi sendiri.

Walaupun Malaysia memiliki kelebihan selaku tuan rumah dengan menghantar kontinjen terbesar iaitu 871 atlet - lebih 13 atlet sahaja berbanding Thailand, bilangan tersebut sebenarnya tidak menunjukkan kekuatan sebenar kedua-dua negara dalam bersaing sengit kali ini.

Ini ditegaskan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang lebih suka menumpukan strategi mengikut acara dan bukannnya bilangan atlet sesuatu negara.

Beliau tidak menafikan Thailand juga sudah pasti mahu muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017 sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka di Singapura pada 2015.

Dua tahun lalu, Thailand muncul juara keseluruhan dengan membawa pulang 95 emas, 83 perak dan 69 gangsa diikuti tuan rumah Singapura 84-73-102, Vietnam 73-53-60 dan Malaysia 62-58-66.

Senario sama dijangka berlaku pada Ogos nanti walaupun di atas kertas Thailand meletakkan sasaran 100 pingat emas untuk dibawa pulang. Jika itu congakannya, Malaysia sudah tentu tiada pilihan selain perlu meraih 108 emas yang dianggap releven dan masih berada dalam radar untuk muncul juara keseluruhan kali ini.

Atas faktor inilah, MOM menerusi setiausahanya, Datuk Low Beng Choo dalam sidang akhbar mengumumkan jumlah penyertaan atlet 11 negara Asia Tenggara hari ini begitu bimbang untuk mendedahkan senarai nama atlet negara kepada media Malaysia untuk disiarkan.

Bimbang kerana ada negara mengetahui kekuatan sebenar Malaysia dan dalam waktu sama pencabar kita mengatur strategi lebih awal untuk menyekat kontinjen negara daripada muncul juara keseluruhan.

Alasan yang diberikan Beng Choo tidak mendedahkan nama atlet negara kepada media Malaysia juga sama iaitu atas faktor strategi juga walaupun ada seorang wartawan cuba mempertikaikannya dengan berkata, tiada beza jika diumumkan sekarang atau kemudian.

Jelas terbukti keyakinan MOM sendiri masih rendah kerana tidak percaya dengan kekuatan dan kelebihan sendiri walaupun menghantar kontinjen terbesar kali ini. Kelebihan yang dimaksudkan di sini ialah MOM sudah mengetahui kekuatan negara lain berdasarkan senarai atlet yang telah diserahkan kepada mereka sedangkan negara lain tidak mengetahui atlet yang disenaraikan Malaysia secara terperinci.

Atau mungkin Beng Choo mula merasa gementar selepas mengambil kira satu acara olahraga mungkin digugurkan iaitu 3,000 meter lari berhalangan wa­nita kerana tidak cukup penyertaan minimum tiga negara selain enam acara lain yang tidak disertai Malaysia di samping ketiadaan Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton kerana beraksi dalam kejohanan dunia di Glasgow, Scotland pada tarikh yang hampir sama dengan Sukan SEA.

Enam acara lain yang tidak di­sertai Malaysia adalah 200 meter kuak kupu-kupu wanita (renang), 10,000 meter lelaki dan wanita (olahraga), maraton wanita serta skuasy jumbo lelaki dan wanita.

Jika analisis secara kasar dibuat, ada kemungkinan negara yang muncul juara keseluruhan kali ini dijangka tidak sampai 100 pun pingat emasnya sama seperti dua tahun lalu. Sama ada Malaysia, Thailand atau negara lain yang muncul juara keseluruhan, persaingan kali ini dilihat cukup rapat dan seimbang.

Selain Thailand yang kuat dalam acara golf, badminton, olahraga, sepak takraw, tinju bola sepak, futsal dan bola tampar, cabaran Filipina yang sedang mempersiapkan diri menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019 tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Begitu juga Indonesia yang sudah lama membangunkan persiapan atletnya untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2018 selain Vietnam yang kuat dalam acara olahraga, sukan tempur, menembak dan wusyu.