THA72 yang dikemudi oleh Tom dan Kevin Whitcraft mengumpul tiga mata, manakala kapal layar Malaysia, Uranus yang diketuai Bintara Kanan TLR, Salleh Ahmad mengekori rapat di kedudukan kedua dengan enam mata keseluruhan selepas melengkapkan tiga pusingan.

Pasukan Australia diwakili kapal layar, Alive yang berdepan masalah teknikal semalam berusaha bangkit apabila berjaya memperbaiki kedudukan daripada tempat keempat ke tangga ketiga, namun berkongsi 11 mata keseluruhan dengan sebuah lagi kapal layar dari Malaysia, Zuhal.

Jurumudi Uranus, Salleh ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, kesilapan yang kurang dilakukan krew membantu pasukannya bertahan di kedudukan kedua.

”Saya harap kami dapat mempertahankan kedudukan kedua ini sehingga ke penghujung perlumbaan dan saya yakin kami mampu berbuat demikian,” katanya.

Mengulas mengenai kebangkitan kapal layar Australia, Alive, Salleh memberitahu, pasukan tersebut memang jelas berusaha untuk bersaing bagi memperbaiki kedudukan, tetapi Uranus masih kekal di kedudukan kedua.

”Masalah teknikal yang mereka alami, semalam telah banyak menjejaskan kedudukan Alive, kami akan berusaha untuk mengekang kemaraan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, untuk kelas IRC1, kapal layar Jepun, Char Chan masih kekal di kedudukan pertama dengan empat mata keseluruhan, manakala juara bertahan tahun lalu, Mata Hari KL Registry dari Malaysia di tempat kedua (lima mata) dan pencabar Australia, Prime Factor di tangga ketiga (11 mata).

Bagi kelas IRC2 pula, sebuah lagi kapal layar Thailand, Phoenix masih mendahului saingan, hari ini apabila mengumpul tiga mata, Old Pulteney Blue Angel dari Malaysia di kedudukan kedua (enam mata) dan RSYC Nijinsky juga dari Malaysia di tempat ketiga (sembilan mata).

Untuk tiga lagi kategori iaitu Multihull, Club dan Ocean Rover masing-masing diungguli oleh Fetz Ma yang berkongsi tiga mata dengan Tantrum Too, Southern Breeze 3 mengumpul dua mata serta Chantique turut terikat tiga mata bersama kapal layar, Linda. - UTUSAN ONLINE