THA72 yang dikemudi skipper, Tom dan Kevin Whitcraft mengumpul 3 mata, manakala kapal layar Malaysia, Uranus yang diketuai Bintara Kanan TLR, Salleh Ahmad mengekori rapat di kedudukan kedua dengan 6 mata keseluruhan dalam perlumbaan yang telahpun melengkapkan tiga pusingan.

Pasukan Australia diwakili kapal layar, Alive yang berdepan masalah teknikal, semalam, berusaha bangkit apabila berjaya memperbaiki kedudukan daripada tempat keempat ke tangga ketiga, namun berkongsi 11 mata keseluruhan dengan sebuah lagi kapal layar dari Malaysia, Zuhal.

Skipper Uranus, Salleh ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, kesilapan yang kurang dilakukan kru telah membantu Uranus terus bertahan di kedudukan kedua.

“Saya berharap kami dapat mempertahankan kedudukan kedua ini sehingga ke penghujung perlumbaan nanti dan saya yakin kami mampu berbuat demikian,” katanya.

Mengulas mengenai kebangkitan kapal layar Australia, Alive, hari ini, Salleh memberitahu, pasukan tersebut memang jelas berusaha untuk bersaing bagi memperbaiki kedudukan, tetapi Uranus masih kekal di kedudukan kedua.

“Masalah teknikal yang mereka alami, semalam telah banyak menjejaskan kedudukan Alive, kami akan berusaha untuk mengekang kemaraan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, untuk kelas IRC1, kapal layar Jepun, Char Chan masih kekal di kedudukan pertama dengan 4 mata keseluruhan, manakala juara bertahan tahun lalu, Mata Hari KL Registry dari Malaysia di tempat kedua (5 mata) dan pencabar Australia, Prime Factor di tangga ketiga (11 mata).

Bagi kelas IRC2 pula, sebuah lagi kapal layar Thailand, Phoenix masih mendahului saingan, hari ini apabila mengumpul 3 mata, Old Pulteney Blue Angel dari Malaysia di kedudukan kedua (6 mata) dan RSYC Nijinsky juga dari Malaysia di tempat ketiga (9 mata).

Untuk tiga lagi kategori iaitu Multihull, Club dan Ocean Rover masing-masing diungguli oleh Fetz Ma yang berkongsi tiga mata dengan Tantrum Too, Southern Breeze 3 mengumpul 2 mata serta Chantique turut terikat 3 mata bersama kapal layar, Linda.