Buat masa sekarang semua jenis sukan akuatik iaitu renang, renang berirama, renang perairan terbuka, terjun dan polo air berada di bawah seliaan ASUM.

Tunku Imran secara peribadi berpendapat perkara itu perlu diputuskan sendiri oleh pihak persa­tuan namun perlu selari dengan struktur persatuan sukan akuatik di peringkat antarabangsa bagi mengelakkan sebarang konflik.

Sebagai contoh, beliau memberitahu, polo air merupakan sukan berpasukan yang jauh berbeza berbanding renang dan berpendapat perlu diasingkan kerana berpotensi untuk maju di peringkat antarabangsa.

“Bagaimanapun, mereka perlu berbincang dan membuat keputusan sendiri sama ada ingin bergerak secara berasingan atau sebaliknya tetapi perlu mengikut struktur disiplin sukan itu di peringkat antarabangsa,” katanya selepas Majlis Apresiasi Media bersama MOM, di sini hari ini.

Cadangan itu antara lain bertujuan meningkatkan tahap pemantauan dalam setiap disiplin di bawah sukan akuatik selain mengelakkan daripada berlakunya kejadian tidak diingini seperti insiden seorang jurulatih pasukan terjun kebangsaan dari China, Huang Qiang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol seorang atlet wanita Oktober lalu.

Bagaimanapun, Tunku Imran berkata, keputusan mewujudkan persatuan baharu bagi setiap disiplin sukan akuatik bukan penyelesaian terbaik untuk menghalang insiden seumpama itu daripada terus berulang.

Katanya, paling penting adalah individu yang dipilih untuk menerajui setiap persatuan itu perlu sedar dengan situasi semasa di dalam sukan itu selain memiliki sikap positif dalam meneruskan program pembangunan.

“Insiden (rogol atlet) mungkin boleh berlaku walaupun lima persatuan baharu diwujudkan tetapi paling penting ialah kebajikan atlet itu sendiri perlu diberikan perhatian serius.

“Selain atlet, jurulatih dan pihak pengurusan juga perlu memiliki mentaliti positif selain sedar dengan perubahan semasa dan dengan cara ini, mungkin keadaan akan menjadi lebih baik,” katanya.