Jun Hoong yang ternyata kecewa mengakui, peluang menyumbang pingat pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Rio 2016 berkecai ekoran kealpaaannya.

Jun Hoong berkata, apa yang lebih dikesali, kesilapan berlaku sewaktu pasangnya, Nur Dhabitah memberi aksi konsisten.

“Kalau konsistensasi dapat dikekalkan, kita ada peluang cerah untuk meraih pingat. Mungkin kerana terlalu mahu memberi yang terbaik menyebabkan kesilapan tersebut berlaku.

Cheong JUN HOONG (kanan) dan Nur Dhabitah Sabri memperagakan
CHEONG JUN HOONG (kanan) dan  Nur Dhabitah Sabri memperagakan aksi  3 meter papan anjal seirama wanita di Rio De Janeiro, semalam.

“Dhabitah sudah melakukan yang terbaik. Dalam terjunan keempat itu, ‘timing’ kami silap tetapi kami sudah buat yang terbaik,” katanya selepas menamatkan saingan.

Pasangan negara bermula baik dalam tiga terjunan pertama, namun terjunan keempat kurang sempurna yang akhirnya menyebabkan mereka tercicir dan sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima daripada lapan pasukan dengan 293.40 mata.

Kegagalan mempamer aksi konsisten di penghujung saingan itu menyebabkan duo berkenaan dipintas pasangan Australia, Maddison Keeney-Anabelle Smith dan gandingan Kanada, Jennifer Abel -Pamela Ware yang menamatkan saingan di tempat ketiga dan keempat.

Acara itu dimenangi penerjun China, Shi Ting Mao- Wu Min Xia yang mempertahankan emas selepas selesa meraih 345.60 mata, manakala penerjun Itali, Tania Cagnotto-Francesca Dalappe merangkul perak dengan 313.83 mata.

Kata Jun Hoong, walaupun kecewa dengan keputusan itu, dia tetap berpuas hati kerana ia lebih baik berbanding London 2012 yang menyaksikan penerjun negara menduduki tangga kelapan dalam acara yang sama.

Sementara itu, Dhabitah menegaskan kesilapan dalam terjunan keempat bukannya berpunca daripada tekanan kerana mereka berdua tidak melihat papan markah sepanjang pertandingan berlangsung.

Nur Dhabitah selepas ini akan bersaing dalam acara 10m platform individu, manakala Jun Hoong bakal bergandingan dengan Pandelela Rinong dalam acara 10m platform seirama dan 3m papan anjal individu. 
– UTUSAN