Namun, penerjun berusia 25 tahun tetap membawa pulang hadiah yang jauh lebih bernilai daripada emas, apabila dia dilamar kekasihnya, Qin Kai ketika menaiki podium untuk menerima pingat.

Sebentuk cincin berlian kelihatan jauh lebih berkilau berbanding emas yang terlepas daripada genggaman, malah kisah romantik pasangan kekasih itu turut disaksikan ribuan peminat di Pusat Akuatik Maria Lenk serta jutaan penonton di seluruh dunia.

Segala-galanya berlaku ketika He Zi yang telah menerima perak bersedia untuk turun daripada podium, namun langkahnya dihentikan oleh Qin Kai yang tiba-tiba menuju ke arahnya.

Qin Kai, 30, yang kelihatan serius tanpa melengahkan masa melutut di depan He Zi, sambil mulutnya terkumat-kamit berkata sesuatu kepada kekasihnya itu.

Penonton yang berada di pusat akuatik kemudian melihat penerjun yang meraih gangsa 3m papan anjal seirama itu menyeluk sesuatu daripada poket seluarnya iaitu sebentuk cincin untuk dipersembahkan kepada He Zi.

Sejurus selepas itu, He Zi yang kelihatan malu-malu hanya mampu menganggukkan kepala sebagai tanda setuju dengan lamaran Qin Kai dan cincin kemudian disarung ke jarinya.

Tidak habis di situ, He Zi yang menepuk dahi sejurus menerima lamaran itu turut diberi bunga mawar merah yang diletakkan di dalam kaca oleh Qin Kai.

Penonton bersorak meraikan cerita romantik pasangan Olimpik itu, malah semua penerjun lain yang berada di arena turut terpaku seketika.

Ditemui pemberita selepas itu, He Zi nyata tidak menjangkakan lamaran Qin Kai akan melamarnya di depan ramai penonton dari pelbagai negara. 
 “Dia cakap macam-macam perkara dan sejujurnya saya tidak dapat mengingati setiap butir percakapannya.

“Cuma ada satu kata-katanya yang membuat hati saya begitu terusik, dia beritahu, dia sedia untuk dibuli oleh saya sepanjang hidupnya.

“Dia juga banyak berjanji tetapi yang paling penting, apakah dia boleh menjadi lelaki yang boleh saya percayai sepanjang hidup saya?.

“Saya yakin...dia boleh menjadi lelaki itu,” kata He Zi yang sudah enam tahun menjalin hubungan bersama Qin Kai. 
– AGENSI