Dua emas terakhir masing-masing disumbangkan oleh gandingan Leong Mun Yee-Traisy Vivien Tukiet dan Hanis Nazirul Jaya Surya-Jellson Jabillin dalam acara 10 meter platform seirama wanita serta lelaki pada hari terakhir temasya dwitahunan itu, hari ini.

Mun Yee dan Traisy meraih emas selepas mengumpul markah tertinggi 300.36 manakala perak milik pasangan Singapura, Yan Lim Shen-Myra Lee Jia Wen (256.71) dan Thailand meraih gangsa menerusi Surincha Booranapol-Titiporn Tonapho (233.34).

Dalam kategori lelaki, Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabillin yang digandingkan buat pertama kali di temasya itu tidak menghampakan kem negara apabila mengungguli acara tersebut dengan meraih markah tertinggi 384.12 manakala perak milik Indonesia, Adityo Restu Putra-Andriyan (364.14) dan Jonathan Chan-Joshua James dari Singapura, gangsa (340.50).

Hanis Nazirul, 16, mengakui penampilan pertama di Sukan SEA ini akan menjadi platform terbaik untuk dia memasang impian beraksi di peringkat lebih tinggi seperti Sukan Asia, Komanwel dan juga Olimpik.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu percaya perjalanannya masih jauh kerana banyak teknik terjunan yang masih perlu diperbaiki.

“Sasaran saya seterusnya beraksi pada Sukan Asia, Komanwel dan paling diimpikan pastinya Olimpik. Mungkin perjalanan itu masih jauh tetapi saya akan terus berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai impian itu,” katanya yang memberitahu bahawa Bryan Nickson Lomas sebagai salah seorang idolanya.

Sementara itu, penerjun senior negara, Mun Yee, 32, berasa sangat gembira apabila berjaya melengkapkan 17 pingat emas secara peribadi dalam penampilan kali ke-11 di temasya sukan itu.

“Gembira dapat pertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu bersama Traisy dan secara keseluruhan saya puas hati dengan prestasi saya pada Sukan SEA kali ini,” katanya.