Pandelela, pemenang pingat gangsa Olimpik 2012 meraih tiket keduanya dalam temasya 5-21 Ogos itu selepas memenangi pingat perak bersama Jun Hoong pada kejohanan Piala Dunia di Rio.

Gandingan negara itu memulakan hari pertama kejohanan de­ngan langkah cemerlang selepas mengumpul 318.90 mata di Pusat Akuatik Maria Lenk.

Pingat emas menjadi milik pasangan China, Chen Ruolin-Liu Huixia yang mengumpul 344.04 mata, manakala tempat ketiga milik pasangan England, Barrow Sarah-Couch Tonia dengan 308.82 mata.

Walaupun sudah meraih dua tiket ke Temasya Rio, namun Pandelela enggan terlalu bergembira kerana kejayaan tersebut tidak menjanjikan sebarang pingat, sebaliknya kejayaan sebenar buat penerjun kelahiran Sarawak itu adalah jika dia berjaya me­ngulangi pencapaian empat tahun lalu.

“Belum tentu lagi (menghasilkan pingat) sebab dalam pertan­dingan terjun apa-apa pun boleh berlaku.

“Apa yang penting, ketika beraksi pada Sukan Olimpik Brazil nanti kami boleh melakukan yang terbaik. Sekarang, kami perlu mempertingkatkan latihan dan bekerja lebih keras.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran pingat untuk Sukan Olimpik kali ini kerana pada kebiasaannya saya hanya mahu me­nyasarkan untuk membuat terjunan yang terbaik dan menikmati kejohanan.

“Bagaimanapun saya akui, saya dan Jun Hoong memiliki keserasian yang baik,” kata Pandelela ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pasukan terjun negara sudah pun melayakkan diri dalam tujuh acara pada Sukan Olimpik 2016 menerusi lima penerjun. Pandelela dan Ooi Tze Liang telah mengesahkan tiket dalam dua acara, manakala Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri serta Jun Hoong, masing-masing satu acara.