Selepas meraih perak semalam, Nur Dhabitah Sabri sekali lagi membuat kejutan apabila menghadiahkan gangsa menerusi acara 3 meter (m) papan anjal wanita di final.

Penerjun berusia 18 tahun itu memungut 314.10 mata untuk berada di belakang naib juara, Qu Lin dari China, yang mencatat 324.55 mata. Emas dimenangi wakil negara Tembok Besar itu, Xu Zhihuan dengan 351.70 mata.

“Kejayaan ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan saya untuk beraksi di temasya Sukan SEA, Ogos ini.

“Terdapat beberapa kelemahan lagi yang perlu diperbaiki dan selepas ini saya akan terus berlatih lebih keras dalam memperbaiki kualiti terjunan saya,” kata Nur Dhabitah ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Satu lagi gangsa disumbangkan penerjun negara Chew Yi Wei setelah meraih 402.20 mata dalam acara 10m platform lelaki di peringkat akhir, dengan juara dan naib juara dimenangi penerjun China, masing-masing menerusi Tai Xiaohu (470.45 mata) dan Yang Ling (469.35 mata). - UTUSAN ONLINE