Dalam kejohanan yang berakhir kelmarin, skuad terjun negara berjaya meraih lapan slot di Olimpik kelak, dengan tiga daripadanya hadir menerusi Cheong Jun Hoong (3m papan anjal, 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama).

Turut meraih slot ke temasya sukan berprestij itu ialah Pandelela Rinong, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri manakala Ooi Tze Liang menjadi satu-satunya wakil lelaki yang akan ke Rio dan bersaing dalam dua acara.

Ketua jurulatih terjun kebangsaan Yang Zhuliang nyata gembira dengan prestasi yang ditampilkan skuad wanita negara sambil menyifatkan mereka menampilkan aksi luar biasa meskipun perlu bersaing dengan kuasa besar lain terutamanya China.

Katanya, Malaysia memiliki harapan cerah untuk meraih pingat di Rio khususnya dalam acara 10m platform seirama menerusi gandingan Pandelela-Jun Hoong.

“Skuad wanita memang menunjukkan prestasi yang sangat tinggi dan dengan kualiti luar biasa yang ditunjukkan baru-baru ini saya yakin acara 10m platform seirama wanita mampu membawa pulang pingat.

“Kita juga masih berpeluang untuk meraih satu lagi slot ke Sukan Olimpik menerusi Ahmad Amsyar Azman, tetapi perlu menunggu keputusan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) kerana pada waktu ini dia berada di kedudukan ke-24 dan sejumlah besar penerjun sudah layak ke sana, jadi masih ada slot kosong untuk diisi,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam dari Rio.

Mengulas mengenai kemungkinan untuk menggandingkan Leong Mun Yee bersama Pandelela dalam acara 10m platform seirama di Brazil, Zhuliang berkata, dia tetap akan mengekalkan Jun Hoong dalam acara itu kerana penerjun berusia 26 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang pada waktu ini.