Dua tahun lagi, giliran Perak pula bergelar tuan rumah apabila Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menerima penyerahan bendera temasya daripada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dalam majlis penutup malam ini.

Perak, yang menamatkan persaingan dalam temasya kali ini di tempat ke-12 dengan 12 emas, 26 perak dan 34 gangsa, akan menganjurkan temasya terbesar tempatan ini untuk kali kedua selepas menjadi tuan rumah Sukma kelima pada 1994.

Menggelarkan diri mereka selaku We Are The Bos Gaurus, Perak ternyata bersedia untuk menggalas tanggungjawab berat sebagai tuan rumah, apabila mula mempromosikan Sukma 2018 di dalam buku panduan kontinjen negeri itu.

Malah, temasya tersebut kelak bakal diadakan bersempena Tahun Melawat Perak 2018 dan negeri itu turut mengadakan persembahan kebudayaan dalam majlis penutup Sukma 2016 sebagai tanda pengenalan selaku tuan rumah yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan tetamu kehormat majlis penutup di Stadium Sarawak di sini selain Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Ahmad Zahid dalam ucapan penutupannya mengucapkan tahniah kepada tuan rumah setelah menganjurkan Sukma yang paling berjaya dalam sejarah temasya tersebut.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua 8,000 orang atlet dan pegawai yang mewakili 15 kontinjen bertanding termasuk kontinjen negara Brunei selaku kontinjen jemputan Sukma kali ini kerana semangat kesukanan mereka yang tulen dan tinggi,” katanya.

Menurut beliau, Sukma kali ini juga berjaya mencapai matlamat untuk mencungkil bakat baharu yang berpotensi diketengahkan bagi menggalas cabaran negara ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada pelari muda Melaka, Khairul Hafiz Jantan yang berjaya memecahkan rekod 100 meter kebangsaan milik Watson Nyambek.

Berikutan pencapaian atlet berusia 18 tahun itu beliau mahu bantuan, persiapan, latihan dan pendedahan atlet-atlet muda dilakukan secara berterusan sepanjang tahun dan bukan secara bermusim.

Terdahulu, upacara penutupan Sukma 2016 berlangsung dengan penuh warna-warni yang dimulakan dengan perarakan masuk gabungan kontinjen negeri.

Sebagai hiburan untuk hadirin, persembahan khas Kamek Anak Sarawak disajikan oleh gabungan 1,200 orang penuntut dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Kuching, Sekolah Menengah Kebangsaan Matang Hilir dan Akademi Tarian Kuching.

Selain itu, anugerah olahragawan serta olahragawati Sukma 2016 yang menjadi milik raja pecut Malaysia yang baharu, Khairul Hafiz Jantan dan pemanah Terengganu, Nur Aqilah Yusuf turut diserahkan kepada kedua-dua atlet berkenaan.