Malaysia juga memiliki wakil dalam saingan lelaki menerusi Ahmad Muaz Fishol.

Teruja dengan kejayaan merangkul dua pingat, terutama membantu Malaysia muncul juara berpasukan wanita buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun, Siti Safiyah mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan semua pihak yang dianggap tulang belakang kepada kejayaan hebat skuad boling negara di Amerika Syarikat (AS) dalam media sosial.

“Syukur Alhamdulillah kami berjaya melakukannya! Kami menang emas berpasukan pada Kejohanan Dunia 2017.

“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan betapa gembiranya saya memenangi emas bersama rakan-rakan sepasukan.

“Saya juga gembira kerana turut menyumbang perak buat Malaysia dalam All-Events! Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan tidak henti-henti memberi sokongan. Kepada mereka di tanah air yang sanggup berjaga hingga lewat pagi hanya untuk melihat kami beraksi di televisyen, terima kasih kerana meluang masa menonton dan menyokong kami.

“Terima kasih kepada ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara), MTBC (Kongres Tenpin Boling Malaysia), barisan jurulatih, pengurus, pegawai dan rakan-rakan sepasukan saya yang hebat kerana menjadikan mimpi saya satu kenyataan! Kami adalah juara dunia!!,” tulis Siti Safiyah dalam Facebook.

Malaysia yang diketuai Shalin, Siti Safiyah, Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan mengetepikan musuh ketat, Singapura menerusi jatuhan pin 214-209 dan 188-177 dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Boling South Point.

Ini kali ketiga Malaysia memenangi pingat emas acara berpasukan wanita pada Kejohanan Dunia selepas kali terakhir melakukannya di Monterrey, Mexico pada 2007. Pasukan negara sebelum itu turut muncul juara 2003 ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah.

Siti Safiyah sebelum ini turut meraih perak dalam saingan All-Events wanita, manakala Shalin dan Li Jane memenangi perak beregu wanita. - UTUSAN ONLINE