Kejohanan selama empat hari itu melibatkan penyertaan pasukan 11 buah negara yang bukan sahaja menguji keupayaan pasukan negara tetapi juga bagi merangsangkan lagi perkembangan sukan itu khususnya di negari ini dan mempromosi Terengganu dari sudut pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pemilihan Terengganu sebagai lokasi penganjuran merupakan satu penghargaan kepada negeri ini.

Katanya, pemilihan itu bermungkinan disebabkan Terengganu memiliki kemudahan gelanggang boling padang antara yang terbaik di rantau ini.

‘’Gelanggang yang dinaik taraf membabitkan peruntukan RM6 juta itu pernah dijadikan gelanggang temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan bersesuaian bagi kejohanan lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai kejohanan itu di sini petang ini yang turut dihadiri timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Ibni Amin Busu dan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang juga Naib Presiden Lawn Bowls Asia.

Wan Sukairi berkata, seramai 118 atlet iaitu 88 atlet tempatan dan 30 atlet luar negara termasuk dari negara China, Korea, Macau, Pakistan, Sri Lanka, Filipina, Brunei, Thailand dan Singapura akan turut serta.

“Kerajaan negeri percaya dengan penganjuran program seumpama itu yang menghimpunkan pemain-pemain boling padang professional dan amatur akan turut menaikkan imej Terengganu dalam sukan pelancongan,”ujarnya. -UTUSAN ONLINE.