Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, setakat kelmarin jumlah yang berjaya dikumpul untuk tabung tersebut adalah RM23.25 juta hasil sumbangan daripada pihak kerajaan negeri, syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Katanya, ketika ini Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu memberikan fokus kepada empat jenis sukan yang mampu memberikan saingan di peringkat antarabangsa iaitu bola sepak, basikal, hoki dan kuda lasak.

Tambahnya, sukan-sukan lain yang akan bertanding dalam Sukan Malaysia 2016 turut akan diberikan tumpuan dan akan menggunakan peruntukan sedia ada daripada kerajaan negeri.

“Sebagai permulaan kami akan gunakan RM5 juta untuk sukan bola sepak, RM1 juta untuk hoki dan jumlah yang sama kepada berbasikal manakala RM2 juta untuk kuda lasak.

“Duit ini akan disalurkan kepada sukan yang terlibat untuk dimasukkan dalam tabung mereka sendiri, tetapi jangan risau bantuan akan diberikan secara berterusan jika sukan-sukan ini mempamerkan kecemerlangan,” katanya dalam sidang akhbar majlis pelancaran Tabung Pembangunan Negeri Terengganu di sini kelmarin.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri atlet-atlet Terengganu, termasuk pasukan bola sepak, hoki dan berbasikal.

Katanya, peruntukan yang diberikan kepada dua pasukan bola sepak Terengganu iaitu Terengganu FA dengan Terengganu FC II (TFCII) disalurkan berdasarkan keperluan semasa.