Jurulatih Terengganu, Mohd. Amiludin Mohd. Amin berkata, dia amat berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya pada temasya edisi ke-20 itu selepas empat daripada lima emas tersebut melakar rekod baharu.

“Norafaeza Abullah sumbang dua emas menerusi pecut 100 meter, termasuk 200m yang mencatat rekod baharu, manakala tiga lagi daripada Nur Shahdan Muhammad setelah unggul dengan rekod baharu dalam pecut 200m, 400m serta lompat tinggi.

“Lebih manis, Shahdan dan Norafaeza menutup tirai kejohanan ini dengan masing-masing merangkul gelaran olahragawan serta olahragawati.

“Persaingan kali ini amat sengit dan saya ucapkan tahniah kepada Sabah dan Sarawak kerana telah memberi saingan sengit dalam kejohanan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terengganu menghantar tujuh atlet lelaki dan 4 wanita pada kejohanan itu yang berlangsung sejak 15 Oktober lalu dan berakhir hari ini.

Tempat kedua dimenangi Sabah dengan empat emas, empat perak dan empat gangsa, diikuti Sarawak (4, 4, 0).

Mengulas lanjut, Amiludin berkata, temasya tersebut merupakan medan untuk mengesan atlet yang berpotensi memberi tentangan pada Sukan Orang Pekak ASEAN yang akan berlangsung di Thailand tahun depan.- UTUSAN ONLINE