Menurut laporan The Telegraph, bekas pemain No. 1 dunia itu akan diketepikan oleh Persekutuan Tenis Perancis daripada mendapat wildcard untuk ke undian utama wanita dalam tempoh tiga minggu lagi.

Sharapova sebelum ini digantung daripada pertandingan selama 15 bulan kerana menggunakan dadah meldonium selepas bahan tersebut dilarang pada awal 2016. Hukuman tersebut berakhir sebelum bermula kejohanan di permukaan tanah liat di Stuttgart, Jerman minggu ini.

Kembalinya pemain itu ke dalam pertandingan telah membangkitkan perdebatan dalam sukan tenis selepas dia pada awalnya dikatakan bakal diberi wildcard untuk ke undian utama kejohanan di Roland Garros itu yang berlangsung bulan depan.

Ramai dalam kalangan profesional sukan tenis dan pengulas telah mengkritik dengan mengatakan pendekatan yang digunakan ke atas Sharapova terlalu lembut dengan memberikan pemain itu wildcard sedangkan pemain itu kata mereka sewajarnya memulakan semula kariernya dari bawah.

Laporan The Telegraph mendakwa pihak penganjur Terbuka Perancis akan mengundang Sharapova, 30, untuk beraksi dalam pusingan kelayakan kejohanan Grand Slam itu, yang memerlukan pemain berkenaan memenangi tiga perlawanan sebelum mara ke undian utama.

Ini mungkin sesuatu yang memalukan buat Sharapova untuk bermain di gelanggang luar di Roland Garros, dan perlu meraih kemenangan ke atas pemain yang berada di ranking rendah bagi menempah slot ke pusingan pertama.

Pemenang lima kali Grand Slam itu masih mempunyai peluang untuk layak ke undian utama menerusi ranking WTA. Sharapova perlu memenangi perlawanan akhir di Stuttgart untuk mengutip mata yang akan membantu melonjakkan kedudukannya dalam ranking dunia dan melayakkan diri ke peringkat kelayakan.

Jika dia gagal berbuat demikian, maka Sharapova akan ditawarkan wildcard untuk pusingan kelayakan. Pendirian tegas yang ditunjukkan oleh penganjur Terbuka Perancis turut memberi tekanan kepada tuan rumah Wimbledon agar tidak memberi laluan mudah kepada bintang Rusia itu.

Sharapova sekurang-kurangnya perlu mengutip 600 mata bermula dari sekarang hingga Terbuka Itali yang bermula 15 Mei ini untuk layak secara automatik ke undian utama Wimbledon. – AGENSI