Pemain Sepanyol berusia 31 tahun itu mencatatkan sejarah  dengan menewaskan Stan Wawrinka di Roland Garros pada Ahad lalu dengan 6-2, 6-3, 6-1 sekali gus menjadikan Nadal pemain pertama dalam sejarah untuk memenangi piala utama tersebut sebanyak 10 kali.

Kejayaan itu juga merupakan kemenangan  Nadal yang ke-15 dalam gelaran Grand Slam, mengatasi pencapaian Pete Sampras dan hanya ketinggalan tiga kali gelaran di belakang pesaing lamanya, Roger Federer.

Sasaran Nadal kini ialah memburu kemenangan di Wimbledon di mana Nadal pernah muncul sebagai juara pada tahun 2008 dan 2010 dan naib juara pada 2006, 2007 dan 2011.

“Agak lama saya tidak bermain dengan baik di Wimbledon. Memang benar bahawa selepas 2012 dengan apa yang berlaku pada lutut saya telah menjadikan saya sukar untuk terus mara. Itulah realiti,” kata Nadal.

Akibat kecederaan tersebut, Nadal terpaksa berhenti bersaing pada persaingan di Wimbledon pada tahun 2009 dan 2016, manakala pada tahun 2012 hingga 2015, beliau tewas pada Lukas Rosol, Steve Darcis, Nick Kyrgios dan Dustin Brown.

Nadal mengakui bahawa jika masalah  berkaitan kecederaan lututnya timbul pada gelanggang rumput Wimbledon nanti, di mana lantunan bola yang lebih rendah yang memerlukan  banyak tekanan pada kaki dan sendi, mungkin beliau tidak mempunyai peluang di London.

“Semua orang tahu saya sukakan rumput dan saya suka bermain di atas permukaan tersebut. Saya juga rindu untuk bermain di Wimbledon.

“Jadi, saya berharap lutut saya akan berada dalam keadaan baik dan saya akan menjalani persiapan yang betul saya perlukan dan mahukan.

“Jika saya merasa sakit pada bahagian lutut, saya akan dapat mengawalnya melalui pengalaman saya. Saya perlu bersemangat tinggi dan mempunyai kaki yang kuat untuk bersaing di Wimbledon," katanya.

Kebangkitan Nadal pada tahun 2017 merupakan salah satu jalan cerita dunia tenis sama seperti yang dialami oleh Federer yang mengalahkannya pada perlawanan akhir Terbuka Australia, Januari lalu. - AFP