Berbeza ketika menganjurkannya pada 1970 dengan jaya sehingga sukar dilupakan, temasya 1986 ini tidak henti-henti diulit masalah baik sebelum mahu pun selepas dilangsungkan.

Masalah paling teruk adalah tindakan 32 daripada 59 negara Komanwel memboikot temasya berikutan tindakan kerajaan Bri­tain pimpinan Margaret Thatcher ketika itu yang mengiktiraf Dasar Apartheid Afrika Selatan.

Ini menyebabkan pihak pe­nganjur gagal mendapatkan jumlah tajaan dan hak penyiaran yang mencukupi, sekali gus menimbulkan masalah kewangan yang besar. Walaupun pada awalnya seorang ahli perniagaan, Robert Maxwell berjanji untuk membantu menyalurkan sebanyak 2 juta pound, akibat pengurusan yang kelam kabut hanya 250,000 pound sahaja disalurkan.

Namun, ia masih gagal mencapai bajet yang diperlukan iaitu 14 juta pound. Ketika berlangsungnya upacara pembukaan, penganjur masih kekurangan 3 juta pound tetapi kemudiannya meningkat kepada 4.3 juta pound.

Selepas tiga tahun berlalu, penganjur masih menanggung hutang sebelum berjaya dilangsaikan. Dalam proses melakukannya, Bandaraya Edinburgh akhir­nya mengisytiharkan pihaknya rugi 500,000 pound dalam meng­anjurkan temasya 1986.

Secara keseluruhannya berlaku penurunan mendadak apabila hanya 26 negara mengambil bahagian membabitkan 1,662 atlet dan 461 pegawai. Mereka bertanding dalam 10 jenis sukan iaitu olahraga, akuatik (renang, terjun, renang berirama), badminton, tinju, berbasikal, boling padang, mendayung, menembak, angkat berat dan gusti.

Malaysia bagaimanapun tidak menyertai temasya 1986 ini kerana turut terlibat dengan tindakan memboikot yang dilakukan negara Komanwel kebanyakkan dari benua Afrika, Asia dan Carribean.

Maka Sukan Komanwel 1986 ini lebih sesuai digelar sebagai sukan negara kulit putih ketika itu.