Namun perubahan nama tersebut tidak begitu menjadi tum­puan sangat ketika temasya yang berlangsung dari 3-12 Ogos itu sebaliknya ada insiden yang lebih menarik perhatian dan memba­yanginya iaitu tindakan boikot yang dilakukan Nigeria dan Uganda.

Ini kali pertama temasya Sukan Komanwel berdepan tindakan sedemikian. Nigeria memboikot sebagai satu protes kepada tindakan New Zealand yang masih menjalinkan hubungan berkaitan sukan dengan negara yang mengamal Dasar Apartheid iaitu Afrika Selatan manakala Uganda bertindak serupa sebagai protes kepada tindakan Kanada mengiktiraf kerajaan yang dipimpin Idi Amin ketika itu.

Di sebalik tindakan boikot ini, temasya 1978 tetap berjalan se­perti bia­sa dengan penganjur buat kali pertama menggunakan sistem berkompu­ter untuk melancarkan penjualan tiket masuk.

Malah, sebanyak 46 negara menghantar atlet mereka bertan­ding berbanding 38 di Christ­church pada 1974. Dengan pe­ningkatan itu, jumlah atlet yang mengambil bahagian juga bertambah iaitu seramai 1,474 orang.

Tidak pernah muncul juara keseluruhan, tuan rumah Kanada membuat kejutan apabila mengungguli carta kedudukan pingat pada hari terakhir untuk menamatkan penguasaan Australia dan England yang silih berganti bergelar juara sejak 1930.

Daripada 128 pingat emas yang ditawarkan dalam 10 jenis sukan seperti olahraga, badminton, tinju berbasikal, gimnastik, boling padang, menembak, renang/terjun, angkat berat dan gusti, Kanada meraih 45 daripadanya.

Antara faktor kejayaan Kanada ialah mungkin kerana mereka menyenaraikan buat kali pertama sukan gimnastik untuk dipertan­dingkan di Sukan Komanwel selain menguasai acara renang, menembak, angkat berat dan gusti.

Pencapaian Malaysia yang menghantar 18 atlet pula tidak banyak berubah dengan badminton kekal menjadi penyumbang tetap pingat untuk membolehkan kontinjen negara pulang dengan satu emas, dua perak dan 1 gangsa.

Emas diraih menerusi Sylvia Ng dalam acara perseorangan wanita yang menewaskan rakan senegara, Katherine Teh. Satu lagi perak disumbang Moo Foot Lian/Ong Beng Teong dalam acara beregu lelaki. Buat pertama kali acara berpasukan campuran diper­kenalkan di Edmonton de­ngan Malaysia meraih gangsa.

Kontinjen negara turut mengambil bahagian dalam sukan angkat berat, menembak, renang dan olahraga tetapi gagal meraih sebarang pingat tambahan.