Ini menyaksikan setiap venue pertandingan serta keselamatan atlet dan penonton diberi ke­utamaan oleh pasukan ke­selamatan New Zealand sepanjang temasya. Malah pasukan polis berprofil tinggi turut terbabit.

Tempat tinggal penuntut Universiti Canterbury yang dijadikan perkampungan sukan bagi atlet pula dikelilingi pengawal ke­selamatan 24 jam manakala hanya kenderaan rasmi pegawai temasya dibenarkan memasuki kawasan-kawasan yang dianggap sensitif di setiap venue.

Hasilnya tiada insiden tidak diingini berlaku dengan temasya edisi ke-10 itu berjalan lancar tanpa apa-apa gangguan. Sambutan yang diberikan penduduk tempatan juga cukup hebat menerusi keha­diran penonton yang penuh sesak.

Bagaimanapun dari segi bilangan penyertaan negara yang bertanding sedikit berkurangan mungkin kerana bimbang tentang keselamatan mereka. Hanya 38 negara yang mengambil bahagian berbanding 42 ketika temasya 1970.

Namun sembilan jenis sukan kekal dipertandingkan iaitu olahraga, badminton, tinju, lumba berbasikal, boling padang, menembak, renang/terjun, angkat berat dan gusti bagi merebut 374 pingat yang ditawarkan.

Kontinjen negara yang membuat penampilan ketiga atas nama Malaysia berbanding Malaya sejak 1966 menghantar 14 atlet untuk menyertai enam jenis sukan iaitu angkat berat (1), renang (2), berbasikal (2), badminton (6), menembak (1) dan olahraga (2).

Bagaimanapun seperti biasa, hanya badminton kekal menjadi penyumbang tetap pingat apabila membawa pulang satu emas menerusi Punch Gunalan dalam acara perseorangan lelaki dan tiga gangsa menerusi Punch Gunalan-Dominic Soong dalam beregu lelaki, Sylvia Ng dalam perseorangan wanita dan Sylvia-Rosalind Singha Ang dalam beregu wanita.

Lain-lain atlet yang mewakili Malaysia ketika itu adalah Daud Ibrahim, Ramli Hashim (basikal), Ally Ong (skeet/menembak), Chiang Jin Choon, Rosanna Lam (renang), Sua Hingboo (angkat berat), Istiaq Mubarak dan Gladys Chai (olahraga).