Antara perubahan yang dilakukan ialah ke atas nama temasya. Daripada Sukan Empayar British yang digunakan sejak edisi pertama pada 1930, nama temasya buat kali pertama pada edisi kesembilan ini telah ditukar kepada Sukan Komanwel British.

Buat kali pertama juga, semua acara sukan menggunakan jarak metrik dan teknologi catatan masa elektronik termasuk rakaman photo-finish. Dari segi negara penganjur, ini kali pertama Edinburg, Scotland menjadi tuan rumah yang berlangsung dari 16 hingga 25 Julai 1970.

Malah buat kali pertama, Queen Elizabeth II selaku ketua Komanwel hadir bagi merasmikan temasya. Sebelum ini hanya kaum kerabatnya sahaja yang hadir seperti Putera Philip dan Putera Charles.

Tidak hairanlah temasya kali ini menerima penyertaan tertinggi iaitu membabitkan 42 negara dan 1,744 atlet dan pegawai. Negara kecil seperti Tanzania, Malawi dan St. Vincent pula mencipta sejarah apabila buat kali pertama berjaya memenangi pingat.

Seperti kebiasaan sejak edisi 1950, sebanyak sembilan jenis sukan dipertandingkan dengan mengekalkan sukan sama pada 1966 di Jamaica kecuali menembak iaitu olahraga, badminton, tinju, berbasikal, lawan pedang, boling padang (dimasukkan semula), renang dan terjun, angkat berat serta gusti.

Kontinjen negara yang menggunakan nama Malaysia buat kali kedua selepas temasya 1966 menghantar 14 atlet untuk menyertai tiga jenis sukan iaitu badminton, lawan pedang (3 atlet) dan angkat berat (1).

Bagaimanapun hanya badminton yang berjaya menyumbang pingat. Satu emas (Punch Gunalan/Ng Boon Bee) dan satu perak (Ng Tat Wai/Tan Soon Hoi) dalam acara beregu lelaki dan satu gangsa (Rosalind Singha Ang/Teoh Siew Yong) dalam beregu wanita.