Selepas berjaya meneruskan kemaraan dengan menewaskan MSN9 Seremban dalam pusingan ketiga hari ini, I.STC dijangka menentang Majlis Daerah (MD) Tangkak dalam pusingan keempat.

Pemenang pusingan keempat akan mara ke suku akhir.

Pengurus I.STC, Azlan Ismail berkata, walaupun sasaran mereka adalah sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir, namun impian untuk muncul juara tetap tidak diketepikan pada penampilan kedua mereka dalam kejohanan ini.

“Kami sedar tugas yang menunggu kami amat mencabar kerana ada banyak lagi pasukan yang kuat yang turut mara ke pusingan keempat.

“Walaupun kami berjaya melepasi MD Tangkak sekali pun, menanti kami di peringkat suku akhir dan seterusnya adalah pasukan yang kuat-kuat belaka. Namun kami akan mencuba yang terbaik,” katanya.

Antara pasukan yang dianggap perlu diberikan perhatian adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Gabungan Sepak Takraw Teluk Paku (Gastep) Terengganu dan regu juara tahun lalu Trimbun Waris dari Kuala Lumpur.

“Trimbun Waris dibarisi pemain sama yang muncul juara tahun lalu ketika menggunakan nama MBSA. Walaupun mereka bertukar nama pasukan, kekuatan mereka tetap hebat seperti tahun lalu,” tegas Azlan.