Sehubungan itu, katanya, beliau sedia menangguhkan rancangan berbulan madu bersama isterinya, Nurul Farhana Abd. Majid, 27, sejurus melangsungkan majlis persandingan mereka di sini hari ini.

“Banyak teknik yang masih perlu diperbaiki dan saya juga harus memberi tumpuan kepada sesi latihan untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran Sukan Asia nanti.

“Saya juga perlu fokus kepada Kejohanan Pra Sukan Asia pada Februari ini bagi meraih tempat untuk mewakili negara,” ujar Al Jufferi kepada pemberita pada majlis persandingannya di Dewan Semai Bakti Felda di sini hari ini.

Majlis persandingan tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omar Din dan Yang Dipertua Pesaka negeri, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah.

Sebagai rekod, tokoh Olahragawan Negara 2015 itu meraih gelaran juara dunia pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2016 di Bali pada Disember tahun lalu.

Ditanya mengenai pasangannya, Al Jufferi berkata, mereka mula berkenalan melalui laman sosial Facebook sejurus dia meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura.

Sementara itu, Nurul Farhana berkata, dia memberi sokongan penuh kepada suaminya memandangkan Sukan Asia akan berlangsung dalam tempoh kira-kira lapan bulan lagi.

“Saya memahami tugas dia sebagai atlet yang perlu menjalani latihan untuk memenangi pingat emas buat negara. Mengenai bulan madu, tak apalah kami tangguh sehingga tamat Sukan Asia,” ujarnya.