Walaupun berdepan sorakan ribuan penyokong tuan rumah yang membanjiri Ranau Hall, Bandar Sukan Jakabaring, skuad negara ternyata mampu menguasai emosi untuk mempamerkan aksi bertenaga sebaik perlawanan bermula.

Set pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun regu negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Farhan Adam (pegumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) melakukan sedikit kesilapan pada penghujung set yang pantas dimanfaatkan regu Indonesia untuk menang 21-18.

Menyedari mereka perlu menang untuk memastikan harapan menggenggam emas terus menyala, trio negara yang pada satu ketika ketinggalan 11-17 memaksa pasukan Indonesia berhempas-pulas untuk bertahan sebelum akhirnya menundukkan mereka dengan catatan 22-20, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set penentuan, regu negara dilihat lebih bersedia dan berjaya menahan asakan demi asakan regu lawan untuk menundukkan Indonesia 21-11.

Sementara itu, ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad bersyukur dengan kejayaan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menyiapkan pasukan sebelum datang ke temasya ini. - BERNAMA