“Memang itu video kami dan itulah yang berlaku, dan kami sangat menyesal atas kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata Chew Yiwei yang mewakili atlet terjun negara dalam sidang akhbar khas di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.

Menurut Yiwei, mereka tidak tahu siapa yang merakamkan video berkenaan dan enggan membuat spekulasi, namun mengakui, kesalahan tetap kesalahan dan mereka harus berdepan dengan masalah yang sudah berlaku.

“Selepas berbincang bersama dan bersetuju semua berdepan dengan media dan orang ramai sebagai sebuah pasukan, bukan secara individu kerana kami adalah sebuah keluarga.

“Kami tidak tahu (siapa yang merakamnya), tidak elok untuk membuat spekulasi. Kami sedar kesalahan adalah tetap kesalahan dan kami memohon maaf atasnya,” katanya.

Meskipun hanya tujuh atlet terbabit dalam video yang tular baru-baru ini tetapi ke semua atlet terjun negara memilih untuk berhadapan dengan pihak media hari ini .

Yiwei mengaku, video tersebut diambil ketika meraikan malam Tahun Baharu Cina, Februari ini ketika berada di luar negara untuk menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Siri Kejuaraan Dunia.

“Kejadian itu berlaku di luar pengetahuan jurulatih dan diadakan di tempat persendirian. Kami meminum bir dan menari yang biasanya kami lakukan ketika hari rehat. Kami belajar daripada kesilapan dan kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan ini,” katanya lagi.

Bintang terjun negara, Pandalela Rinong berkata, dia menyerahkan siasatan berkenaan kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Kami di sini adalah untuk memohon maaf dan selebihnya itu (mengenai individu yang mengambil video tersebut) kami serahkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE