Ketua Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping (SEAGF), Datuk Dr. SS Cheema berkata, pihaknya masih menunggu keputusan ketiga-tiga sampel berkenaan selepas Sistem Pengurusan Pentadbiran Anti Doping (ADAMS) meminta untuk melakukan kajian lebih lanjut terhadap kesemua sampel tersebut.

“Pihak ADAMS masih menahan tiga sampel atlet. Bagaima­napun, saya tidak boleh nyatakan ia melibatkan atlet dari negara mana.

“Mereka berhak bertindak demikian dan kita perlu tunggu keputusan itu setelah ADAMS benar-benar berpuas hati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, seorang atlet Malaysia iaitu penerjun wanita yang memenangi pingat emas dalam KL2017, Ogos lalu disahkan gagal ujian doping.

Utusan Malaysia difahamkan, bahan terlarang yang diambil atlet itu adalah jenis sibutramine bertujuan untuk menurunkan berat badan.

Mengulas lanjut mengenai isu doping melibatkan atlet Malaysia, Dr. SS Cheema membe­ritahu, atlet yang terlibat berhak untuk meminta ujian dilakukan ke atas sampel B.

Dia boleh menghantar wakil atau me­nyaksikan sendiri ujian tersebut dijalankan di New Delhi, India.

Selepas ujian di­buat ke atas sampel tersebut, tarikh bilakah keputusan boleh diperoleh ha­nya akan diputuskan sendiri oleh makmal yang menjalankan kes ber­kenaan.

“Berapa lama keputusan sam­pel B, kita perlu tunggu makmal yang keluarkan tarikh. Bagaimanapun, sepanjang pe­ngalaman saya belum tengok lagi kedua-dua sampel menghasilkan keputusan yang berbeza,” ujarnya.

Jika atlet itu disahkan bersalah, Malaysia yang meraih 145 emas dalam KL2017 akan hilang sebutir emas.

Sementara itu, Dr. SS Cheema turut menasihatkan atlet Malaysia agar lebih berhati-hati setiap kali hendak mengambil sebarang jenis ubat atau vitamin dan perlu merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu.

“Walau apa jenis dadah pun ia tetap salah daripada segi undang-undang.

“Nasihat saya agar atlet lebih berhati-hati setiap kali mengambil ubat atau sebarang vitamin kerana banyak ubat yang dikawal di bawah Kementerian Kesihatan, tetapi dalam masa sama banyak juga ubat terlepas daripada kawalan kementerian.

“WADA sendiri ada senarai panjang mengenai jenis ubat yang dilarang diambil oleh atlet.

“Sebagai atlet mereka perlu peka dengan perkara ini. Pa­ling mudah, tolong rujuk kepada ISN, kita ada badan induk yang memiliki kepakaran.

“Mengapa atlet masih me­ngulangi kesilapan sama, ja­ngan bertindak sendiri.

“Sebarang ubat yang diambil berisiko menyebabkan atlet itu gagal ujian doping. Kena tanya pakar boleh ambil ubat itu atau tidak,” tegasnya.