Tegas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sekiranya menteri berkenaan berhasrat memegang jawatan tersebut mereka perlu mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri atau Jemaah Menteri terlebih dahulu.

“Satu keputusan perlu dibuat oleh jemaah menteri kerana buat masa ini telah digariskan lara­ngan Menteri Persekutuan untuk memegang jawatan dalam mana-mana persatuan sukan.

“Jika ada menteri yang mahu pegang jawatan persatuan sukan, terutama persatuan sukan kebangsaan, dia mestilah mendapat kebenaran daripada Perdana Menteri atau jemaah menteri sebelum bertanding untuk apa jua jawatan dalam persatuan sukan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Karnival Kewangan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khairy turut tidak menyatakan pendiriannya sama ada akan bertanding atau tidak dalam Kongres Pemilihan FAM ke-53 yang dijadualkan diadakan pada 25 Mac 2017.

Ruangan pojok Mingguan Malaysia, Awang Selamat hari ini berkata, banyak pilihan lebih baik da­ripada Tan Sri Annuar Musa dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk jawatan presiden FAM antaranya Khairy.

Awang Selamat melihat kedudukan Khairy, selain ke­prihatinannya terhadap bola sepak akan ba­nyak membantu FAM.

“Malah Perdana Menteri (Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Hussein) pernah menjadi Presiden FAM.

“Kedudukan Khairy akan banyak membantu selain keprihatinannya kepada isu bola sepak sebelum menjadi menteri lagi dan pernah menjadi naib presiden FAM.” kata Awang Selamat.