KHAIRY JAMALUDDIN

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin berkata, setakat ini penajaan terkumpul sudah mencapai hampir 85 peratus atau RM68 juta daripada jumlah sasaran RM80 juta.

“Saya percaya dan yakin, menerusi usaha yang dijalankan pihak Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL 2017, kita akan mencapai sasaran sebelum bermulanya temasya tersebut.

“Kita telah mencapai 97 peratus daripada segi perkhidmatan dan produk, selain sudah mencapai 66 peratus daripada segi penajaan wang tunai,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan KL 2017 di antara SCGM Berhad dengan MASOC di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Perjanjian kerjasama penajaan tersebut disempurnakan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Kumpulan SCGM Berhad, Datuk Seri Lee Hock Seng, dengan disaksikan oleh Khairy.

Sebagai Penaja Perak, SCGM Berhad yang menjalankan perniagaan berkenaan dengan produk pembungkusan plastik di negara ini akan turut dikenali sebagai ‘Official Green Games Partner’ pada temasya tersebut.

Di bawah penajaannya, SCGM Berhad bakal menyumbang wang tunai dan turut terlibat dalam program kesedaran berhubung penggunaan plastik dengan betul menerusi pengurusan sisa secara 4R (Reduce, Reuse, Recycle and Return to Mother Nature) semasa program jelajah sekolah.

Sukan SEA Ke-29 akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos, sementara Sukan Para ASEAN Kesembilan, 17 hingga 23 September. - UTUSAN ONLINE