Namun hari ini, taekwondo yang berasal dari Korea telah berkembang malah ada di antara anak-anak muda di kawasan luar bandar di negeri ini telah tampil menjadi jagoan dalam bidang tersebut.

Salah satu penyumbangnya ialah Penubuhan Persatuan Pan-Malaysia Global Taekwon-Do Kelantan (PGTF Kelantan) yang berjaya mencungkil keupayaan anak-anak muda sebagai bakat baharu dalam sukan mempertahankan diri yang sebelum ini tidak popular dalam kalangan pelajar di luar bandar dan sekolah harian kerajaan di negeri ini.

Setiausaha PGTF Kelantan, Mohd. Zailani Zakaria berkata, kelab itu mula didaftarkan sebagai pertubuhan seni bela diri yang sah pada bulan Disember 2012 dan mula bergiat aktif pada tahun 2014 selepas mendapat kebenaran Jabatan Pendidikan Negeri untuk jurulatih bertauliah masuk ke sekolah.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 27 buah kelab taekwondo sekolah rendah dan menengah di negeri ini bernaung di bawah PTGF Kelantan.

“Kelab ini juga menjadi ‘platform’ memupuk persefahaman dan perpaduan pelbagai kaum di negeri ini berteraskan prinsip lima Rukun Negara dan kombinasi pelbagai kebudayaan.

“Sepanjang tahun ini, katanya, PTGF Kelantan berjaya mengetengahkan sebilangan besar pelajar yang berjaya muncul sebagai juara dipelbagai pertan­dingan di peringkat kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Di antara pertandingan yang disertai kelab itu ialah Kejohanan Taekwondo peringkat kebangsaan sekolah-sekolah agama Malaysia 2016, Kejohanan 'Best Of The Best 2015', Kejohanan Taekwondo Piala Presidn High Kick 2016, Kejohanan Jemputan Negeri Perak dan Seminar Tali Pinggang Hitam.

Mohd. Zailani berkata, pelbagai program telah dilaksanakan oleh kelab itu termasuk penganjuran kejohanan di peringkat negeri, perkhemahan tahunan, seminar 'pettern' dan pertahankan diri, kursus pengadil, ujian peningkatan tali pinggang dan pengiktirafan penguasaan kemahiran dan banyak lagi.

“Dalam usaha memupuk minat pelajar terhadap seni bela diri ini demonstari khas diadakan di sekolah-sekolah terbukti berjaya memikat keinganan pelajar untuk menubuhkan kelab taekwando di sekolah mereka.

“Ibu pejabat kami bertempat di tingkat atas bangunan rumah kedai di Pengkalan Petah, Tawang, Bachok adalah lokasi pertemuan kumpulan perancang program dalam kalangan jurulatih muda melaksanakan pelbagai program membentuk sahsiah pelajar berasaskan aktiviti taekwando untuk digabungkan sebagai Perkhemahan Perdana Tahunan Taekwando PTGF Kelantan setiap tahun,” katanya.

Tambahnya, setiap ahli kelab ini akan mendapat bimbingan jurulatih yang berkaliber pada pada setiap hujung minggu atau waktu petang yang dikhususkan sebagai hari latihan kokurikulum.

“Kebanyakan tenaga pengajar yang disediakan oleh kita adalah anggota taekwando yang berkaliber bukan hanya membabitkan keupayaan seni bela diri tetapi mencakupi tahap kepemimpinan dan sahsiah untuk ditampilkan sebagai ikon persatuan yang boleh dijadikan idola pelajar,” katanya.