Syakilla yang pernah menimbulkan masalah disiplin sebelum Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun lalu, kali ini turut menuntut untuk dibenarkan berlatih bersendirian dengan memberikan alasan tidak dapat mengikuti program bimbingan ketua jurulatih, Ali Reza Souleymani.

“Sepatutnya itu bukan alasan. Pelantikan jurulatih dibuat oleh Makaf jadi atlet kena ikut sistem itu tetapi kami sudah bincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk beri dia masa buat keputusan sehingga mesyuarat Exco, 19 Januari ini.

“Dia mungkin boleh berlatih sendiri tetapi selagi itu caranya, dia kena tanggung sendiri perbelanjaan dan jika ada pencapaian bagus, kami akan bayar balik ikut standard kategori A atau B yang digariskan Majlis Olimpik Malaysia.

“Mesyuarat Exco nanti akan turut memutuskan pelantikan kapten skuad kebangsaan buat sementara memandangkan R. Sharmendran tercedera dan perlu menjalani pembedahan kecil,” kata Setiausaha Agung Makaf, Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad selepas mesyuarat jawatankuasa itu di MSN, Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, Nur Azmi menyangkal andaian wujud­nya gerakan daripada pihak tertentu yang cuba menafikan kemampuan sekali gus me­nyingkirkan Ali Reza sebagai ketua jurulatih negara menerusi tuntutan Syakilla itu.

“Hanya dia seorang yang menuntut berlatih begitu, bukannya beramai-ramai. Beberapa atlet negara juga didapati kurang mengawal berat badan mungkin disebabkan kurangnya latihan fizikal sehingga menjejaskan prestasi semasa mereka,” ujarnya.

Beliau menambah, Makaf turut berharap MSN meluluskan permohonan untuk meletakkan dua atlet bagi setiap kategori kumite sebagai persediaan sekiranya masalah kecederaan melanda supaya lebih ramai bakat baharu diketengahkan.