Setiap pemenang pi­ngat emas iaitu Mohamad Ridzuan Mohd. Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly menerima pakej mengejarkan umrah bersama dua ahli keluarga, manakala pemenang gangsa, Siti Noor Radiah Ismail menerima pakej menunaikan umrah bersama seorang ahli keluarga.

Kesemua mereka dijadual menunaikan umrah pada 5 hingga 15 Januari tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, hadiah pakej umrah adalah tanda penghormatan terhadap pencapaian yang amat bermakna buat negara pada Sukan Paralimpik di Brazil.

“Kami benar-benar kagum dengan pencapaian mereka dan saya berharap atlet Para­limpik negara akan terus berusaha menjadi yang terbaik.

“Kami anggarkan jumlah keseluruhan pakej umrah untuk semua adalah RM200,000 lebih dan kami berharap lebih ramai lagi rakyat Malaysia menjadikan kejayaan ini sebagai inspirasi untuk mencapai kecemerlangan membanggakan buat negara,” katanya pada majlis penyampaian pakej umrah kepada pemenang Sukan Paralimpik Rio di Wisma DRB-Hicom, sini, hari ini.

Dalam pada itu, empat atlet paralimpik yang penerima pakej Umrah tersebut bersyukur de­ngan hadiah diterima daripada DRB-Hicom dan mengakui sukar menggambarkan kegembiraan mereka menerusi kata-kata.

Pemenang pingat emas acara lontar peluru F20 (masalah pem­belajaran) lelaki Sukan Para­limpik, Muhammad Ziyad berkata, hadiah tersebut membuatkan dirinya amat dihargai.

“Menerusi pakej tersebut saya serta dua lagi keluarga saya akan dibawa menunaikan umrah dan saya berterima kasih kepada pihak DRB-Hicom,” kata Muhammad Ziyad.

Bagi Abdul Latif yang memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 lelaki, dia tidak pernah menjangka akan meraih peluang menunaikan umrah sekali gus bersyukur dengan hadiah tersebut.

“Ini satu hadiah yang amat bermakna buat diri saya apabila dapat menunaikan umrah bersama keluar­ga. Terima kasih dengan hadiah ini,” kata Abdul Latif.