Pemain berusia 27 tahun itu dilihat berlatih bersama 21 pemain lain yang dipanggil Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi menggalas tugas skuad negara menghadapi siri persahabatan perlawanan antarabangsa 'A' sebagai persediaan kempen Piala Suzuki AFF 2018.

Sebelum ini, kehadiran pemain sayap Pahang itu tidak kelihatan pada latihan pertama kem latihan pusat pada Isnin lalu di stadium yang sama, selepas dia dikatakan masih belum mendapat pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Bagaimanapun, Sumareh telah mendapat lampu hijau daripada majikannya semalam, untuk mendaftar diri bersama pasukan negara seterusnya berlepas ke Colombo, malam ini untuk bertemu Sri Lanka pada Jumaat.

Tiga pemain daripada senarai asal iaitu Akram Mahinan (Kedah), Nor Hakim Hassan (Perak) dan Rawilson Batuil (Sabah) terpaksa dilepaskan Cheng Hoe gara-gara mengalami kecederaan. - UTUSAN ONLINE