SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN

Keputusan penarikan diri Sultan Mizan daripada KL2017 disahkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Pendaftaran Deligasi (DRM), hari ini.

Sultan Mizan sebelum ini berada dalam senarai Kontinjen Malaysia KL2017 menerusi acara kuda lasak dan adalah antara atlet tumpuan temasya di Kuala Lumpur selain Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang bakal bersaing bagi acara polo.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, keputusan Sultan Mizan itu dibuat selepas mendapati kuda yang bakal ditunggang baginda tidak berada dalam keadaan baik.

Tambah Tunku Imran, keputusan yang diambil Sultan Mizan itu pastinya adalah satu keputusan yang agak berat untuk dilakukan.

“Ini adalah sebahagian daripada cabaran dalam sukan.

“Saya percaya ia adalah keputusan yang sukar kerana sudah lebih setahun baginda menjalani latihan,” kata Tunku Imran.

Dalam acara kuda lasak, kecemerlangan banyak bergantung ke atas tahap keupayaan kuda yang bakal ditunggang malah haiwan tersebut perlu berada dalam keadaan kesihatan terbaik untuk bersaing.

Ini kerana tahap kesihatan dan prestasi kuda yang ditunggang akan diperiksa menerusi denyutan nadi haiwan tersebut ketika melalui setiap checkpoint acara kuda lasak dan sekiranya tidak menepati tahap terbaik maka peserta akan tersingkir.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Low Beng Choo berkata, pihaknya telah mendapatkan pengesahan daripada Sultan Mizan berhubung keputusannya itu berulang kali namun baginda tetap berpendirian untuk menarik diri.

“Kami dimaklumkan Sultan Mizan berasakan adalah lebih baik baginda menarik diri demi kebaikan pasukan,” katanya.