Pemenang pingat emas menerima RM5,000 bagi setiap pingat yang diraih, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000 manakala jurulatih pula masing-masing menerima RM5,000.

Dalam Sukan SEA Ke-29 bulan lalu, 41 atlet Selangor meraih emas, 29 atlet memenangi pingat perak manakala 28 mendapat gangsa.

Upacara penyampaian insentif berkenaan diadakan di Istana Alam Shah, di sini. Turut berangkat Tengku Permaisuri Norashikin.

Sultan Sharafuddin dalam titahnya menzahirkan kebanggaan baginda dengan kejayaan atlet dari Selangor serta turut kagum terhadap komitmen serta kegigihan jurulatih yang tidak jemu berkongsi kepakaran dan pengalaman.

Baginda menyatakan pemberian insentif tersebut sebagai pemberi motivasi dan azimat kepada atlet berkenaan untuk mempamerkan prestasi yang lebih cemerlang dalam kejohanan akan datang.

“Beta yakin semua ini tidak mampu dicapai tanpa kemudahan sukan yang disediakan kerajaan dan swasta yang mana kerajaan negeri telah banyak melabur menyediakan infrastruktur sukan berkualiti tinggi untuk memastikan atlet serta rakyat merasai sendiri aktiviti pembangunan sukan di setiap peringkat.

“Beta menyeru Majlis Sukan Negeri untuk lebih fokus melahirkan atlet-atlet yang mampu meraih emas dalam acara utama di Sukan Olimpik dan Sukan Komanwel seperti olahraga, renang, berbasikal dan ekuastrian,” titah baginda.

Menyifatkan sukan adalah medium terbaik untuk menjana keharmonian dan menyatupadukan rakyat, Sultan Sharafuddin turut menitahkan supaya aktiviti sukan tidak dicampuradukkan dengan fahaman dan kepentingan politik sebaliknya dijadikan elemen terpenting dalam kehidupan sosial masyarakat.

Dalam temasya dwitahunan itu Malaysia menghantar 844 atlet yang mana 142 atlet (16.8 peratus) daripada­nya adalah dari Selangor dan bertanding dalam 32 acara sukan.

Sementara itu, pemenang pingat emas skuad bola jaring kebangsaan L. Karishma, 18, berkata insentif berkenaan adalah yang pertama diterimanya sejak menyertai pasukan tersebut beberapa tahun lepas dan akan digunakan untuk membeli keperluan kejohanan seterusnya.

Atlet terjun negara Chew Yiwei, 22, pula menyifatkan pemberian insentif itu sebagai suatu penghargaan kepada golongan terlibat yang berkorban masa dan tenaga semata-mata untuk mengharumkan nama negara.

“Saya tidak menyangka akan dapat insentif sebegini dan ini menunjukkan satu sokongan yang amat baik kepada atlet. Kerajaan banyak bantu kami dan diharap bantuan ini akan berterusan pada masa akan datang,” kata pemenang pingat emas acara papan anjal seirama dan pingat perak 10m platform itu. – BERNAMA