Baginda menerima Anugerah Ikon Kepemimpinan Sukan Dunia daripada Pertubuhan Perubatan Sukan dan Senaman Dunia (WSSEM) dan Fellowship Diraja daripada Pertubuhan Antarabangsa bagi Traumatologi Sukan di Tangan (ISSPORTH) pada jamuan malam bersempena Kongres Perubatan Sukan dan Senaman 1Malaysia-Dunia, di sini, semalam.

Baginda berkenan menerima anugerah terbabit daripada Setiausaha Agung ISSPORTH Dr. Loris Pegoli dari Itali.

Pada majlis itu, anakanda baginda Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahd Mua’adzam pula dianugerah Fellowship Diraja oleh WSSEM atas penglibatan aktif baginda dalam sukan selain berkenan menjadi penaung organisasi tersebut.

Bekas atlet bina badan negara yang juga bekas Presiden Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Singapura, Prof Dr. Rano Izhar Rahmat pula menerima Fellowship daripada Pertubuhan Perubatan Sukan dan Senaman Malaysia (SSEMM) atas minat mendalam beliau dalam sukan sekalipun diserang strok beberapa tahun lepas.

Turut menerima Fellowship SSEMM ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Abdullah atas sumbangan beliau dalam pembangunan sukan dan kecergasan anggota pasukan beruniform itu.

Seramai 40 penceramah dari 32 negara berkongsi pandangan mereka mengenai sains sukan, paramedik dan juga pencegahan kecederaan dalam kalangan atlet sepanjang tiga hari persidangan berlangsung sehingga hari ini.

Persidangan itu yang bertemakan ‘Mengoptimumkan Potensi Manusia dan Genetik bagi Prestasi Lebih Hebat’ dianjurkan oleh SSEMM. –BERNAMA