Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, jika perancangan itu dipersetujui dan diwartakan, penggiliran negeri menganjurkan Sukma akan dibuat daripada dua tahun kepada empat tahun sekali.

Menurutnya, perbincangan berhubung perkara itu sedang dibincangkan dan jika diluluskan kelak, MSN akan turut menjadi penganjur sukan tersebut dengan menggunakan kemudahan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Jadi, di antara empat tahun itu yang tengah tu akan dianjurkan MSN sendiri sebagai pemilik Sukma dan kita akan gunakan kemudahan di Bukit Jalil telah dinaik taraf untuk kegunaan Sukan SEA yang lepas.

"Penggiliran penganjuran Sukma antara MSN dan negeri ini adalah satu kaedah yang kita sendiri memberi sokongan penuh dan memberi keadaan yang selesa kepada semua pihak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Sukan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.

Mengikut laman web rasmi MSN, bermula tahun 2010, Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan memutuskan tahun ganjil penganjuran Sukma yang diadakan pada setiap tahun akan dianjurkan oleh MSN.

Namun, bermula pada tahun 2014, Sukma dianjurkan secara dwi tahunan dengan dengan Perlis menjadi tuan rumah pada tahun itu, Sarawak (2016), Perak (2018) dan Johor bakal menjadi tuan rumah sukan tersebut pada tahun 2020.

Ahmad Shapawi berkata, buat masa ini, perkara itu dalam perbincangan bersama-sama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan akan dimuktamadkan serta keputusan rasmi akan dicapai pada mesyuarat MSN diadakan tidak lama lagi.

"Jadi,ini satu langkah penjimatan di mana bila kita menganjurkan Sukma di venue Bukit Jalil kita tak perlu bina kemudahan baharu dan menggunakan kemudahan sedia ada yang sudah dibaik pulih dan dinaik taraf," katanya. - UTUSAN ONLINE