Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya diberi tanggungjawab oleh Majlis Sukan Negeri Selangor untuk menjadi bapa angkat kepada atlet-atlet akuatik, gimnastik dan gimrama.

Menurutnya, sebagai bapa angkat, MBSA akan membantu dan memberi kerjasama dari segi kemudahan logistik semasa latihan, persediaan kejohanan dan sepanjang berlangsung temasya,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan atlet-atlet terbabit di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad.

Beliau menambah, selain itu, pihaknya juga menyediakan tempat latihan sesuai, pengangkutan, peralatan sukan dan sumbangan wang tunai serta keperluan lain.

Jelasnya, MBSA juga berharap melalui sumbangan berkenaan dapat memberikan motivasi kepada para atlet tersebut untuk menunjukkan prestasi yang tinggi dan memberangsangkan sepanjang kejohanan.

“Kita berharap kesemua atlet terlibat dapat beraksi dengan bersemangat dan selesa sepanjang Sukma 2018,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis hari ini, MBSA menyerahkan sumbangan peralatan sukan iaitu baju T, beg galas dan wang tunai kepada atlet-atlet angkat mereka. - UTUSAN ONLINE