Upacara perasmian temasya edisi ke-19 tersebut disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hadir sama dalam upacara perasmian temasya dwitahunan bertemakan World Of Wonderful! (WOW!) Kita Hebat! ialah Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Upacara dimulakan dengan lagu Negaraku dan Lagu Kebesaran Negeri Perak sebelum 15 kontinjen yang terdiri daripada 13 kontinjen negeri dan dua Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta Brunei selaku kontinjen undangan, membuat pembarisan lintas hormat.

Turut memeriahkan acara ialah pelbagai persembahan iringan termasuk persembahan lagu tema Sukma 2018 WOW! Kita Hebat! dan tarian daripada Selendang Perak dengan iringan lagu Indra Sakti dipersembahkan kepada kira-kira 20,000 penonton.

Kira-kira pukul 10 malam, Sultan Nazrin mencemar duli me­rasmikan Sukma 2018 yang mana obor utama dinyalakan sebagai simbolik menandakan Sukma 2018 secara rasmi membuka tirai serentak dengan tembakan bunga api dari dalam dan luar stadium.

Gimik paling mencuri tum­puan adalah persembahan pelbagai formasi menarik bunga api dan pertunjukkan 20 buah dron mirip upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.

Pengunjung seterusnya dihiburkan dengan persembahan pancaragam dan nyanyian artis-artis terkenal negara seperti Hazama, Heal Husaini dan OAG.

Sukma 2018 mempertandingkan 29 jenis sukan yang menyediakan 427 pingat emas untuk direbut di 39 venue di kesemua 12 daerah seluruh negeri.

Sementara itu, Melaka kini mendahului carta pungutan pi­ngat emas dengan meraih tiga daripada lima emas yang dipertandingkan hari ini menerusi acara wusyu manakala dua emas lagi masing-masing menjadi milik Johor dan Negeri Sembilan.