Olahraga Para ASEAN Ke-9 yang berlangsung di Staduium Nasional, Bukit Jalil akan berakhir esok, dan selepas dua hari pertandingan Malaysia telah mengumpul 29 emas. Malaysia turut mengutip sembilan perak dan empat gangsa hari ini.

Pengurus pasukan olahraga para negara Mohd. Zarrawi Ravi Abdullah mengakui jumlah tersebut sudah tersasar daripada sasaran ditetapkan walaupun sudah mengatasi pencapaian dalam temasya kali kelapan di Singapura dua tahun lalu.

Pada 2015, skuad olahraga negara meraih 27 emas, 24 perak dan 16 gangsa.

“Keadaan semakin sukar ketika ini untuk mencapai sasaran 40 pingat emas namun kami tetap akan berusaha memberikan yang terbaik pada hari terakhir esok.

“Ada beberapa faktor di luar jangkaan yang telah menyebabkan sasaran kami tersasar, antaranya apabila ada acara dipertandingkan digabungkan kelas kategori sehingga menyukarkan atlet kita meraih kecemerlangan kerana kemenangan ditentukan menerusi kiraan mata, bukan jarak atau catatan masa,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Ini bermakna kem olahraga negara memerlukan 11 lagi pingat emas esok untuk mencapai sasaran.

Sementara itu, enam pingat emas hari ini kesemuanya diraih dalam acara padang bermula dengan kejayaan Muhammad Ziyad yang mengungguli lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) sambil merakamkan rekod baharu temasya sebelum Mohd. Hisham Khaironi berjaya menghadiahkan pingat emas dari rejam lembing kategori F12/13 (masalah penglihatan).

Baki empat lagi pingat emas hari ini diperoleh menerusi Muhammad Hafiz Abu yang cemerlang dalam saingan lempar cakera F36/F37 (cerebral palsy) dan kem negara terus bersorak kegembiraan apabila Wong Kar Gee turut menghadiahkan pingat emas saingan akhir lompat jauh T11/T12 (masalah penglihatan).

Selebihnya pingat emas negara diraih menerusi Adderin Majurin dalam saingan melontar peluru F32/33/34 (cerebral palsy) dan Doriah Poulus yang menceriakan kem olahraga negara apabila memenangi pingat emas dalam saingan akhir merejam lembing F42/44 (masalah kaki).

Jumlah keseluruhan 29 pingat emas setakat hari ini juga adalah tambahan satu emas yang diraih oleh Shamli Wadi dalam saingan lontar peluru F36 (cerebral palsy) pada semalam yang terpaksa ditentukan atas faktor klasifikasi.

Hari terakhir pertandingan olahraga esok menawarkan sebanyak 25 pingat emas dengan dua lagi jaguh dunia dan Paralimpik Rio 2016 iaitu Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bakal beraksi.

Abdul Latif akan bersaing dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) manakala Mohamad Ridzuan berusaha mempertahankan pingat emas 200m T37 (cerebral palsy).