Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penutupan pada Sabtu dan Ahad itu bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dan 10 pagi hingga 12 tengahari.

Beliau berkata, laluan yang terlibat ialah Jalan Dataran Nilai melalui Bulatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jalan Bulatan KLIA ke Pekan Salak Tinggi melalui Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Jalan Salak ke Persiaran Korporat.

"Penutupan laluan lain termasuk jalan Bulatan Putra ke Taman Semarak, Jalan Taman Semarak ke Plaza Tol Nilai dan dari Jalan Plaza Tol Nilai ke Dataran Nilai," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, acara berbasikal yang terlibat ialah perlumbaan Team Time Trial Lelaki dengan jarak 51 kilometer (km), Individual Mass Start Wanita dan Lelaki masing-masing sejauh 101.5km dan 141.6km.

Tambahnya, acara sebenar berbasikal lebuh raya KL2017 akan berlangsung pada 22 hingga 24 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE