Kejayaan ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong yang muncul juara dunia di Budapest, Hungary minggu lalu pastinya menguatkan keyakinan itu.

Namun Jun Hoong sendiri tidak mahu terlalu yakin kerana bagi atlet dari Perak itu, status juara dunia bukan lesen untuknya memandang mudah cabaran dalam Sukan SEA.

Katanya, setiap kejohanan mempunyai cabaran berbeza termasuk KL2017, dan dalam masa sama tidak mahu memandang mudah lawan dari rantau Asia Tenggara.

Tambahnya, dalam acara terjun, fokus amat penting untuk memastikan kecemerlangan mampu diraih dan dia tidak mahu status juara dunia membuatkan tumpuannya terganggu.

“Saya tidak mahu memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi selepas ini terutama selepas bergelar juara dunia kerana bagi saya itu cuma gelaran dan tidak memberi apa-apa makna jika anda sukar meneruskan kecemerlangan.

“Gelaran ini juga tidak memberikan tekanan kepada saya sebaliknya membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghadiahkan kecemerlangan buat negara,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini sekembalinya dari Budapest.

Jun Hoong memecah dominasi China untuk merangkul pingat emas pertama negara dalam sejarah Kejohanan Akuatik Dunia menerusi acara 10m platform wanita pada Khamis lalu.

Atlet kelahiran Batu Gajah itu turut menghadiahkan gangsa bersama Pandelela Rinong pada 16 Julai menerusi acara 10m platform seirama sebelum meraih emas tidak diduga dalam saingan individu.

Sementara itu, Jun Hoong turut memberitahu kecederaan lama di belakang badan tidak mengganggu prestasinya ketika ini.

“Itu (kecederaan) bukan sesuatu yang membimbangkan kerana saya masih dapat beraksi dengan baik.

“Saya juga semakin bersemangat untuk menyertai KL2017,” kata atlet berusia 27 tahun itu.

Atlet wanita China telah menguasai acara terjun dalam Kejohanan Dunia sejak diperkenalkan di Madrid pada 1986 apabila memenangi tujuh daripada 12 emas dalam saingan 10m platform wanita.