Bermula dengan kejayaan tiga atlet negara iaitu Mohamad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) dan Mohd. Ridzuan Puzi (100m T36) muncul juara dunia di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2015 di Doha yang berjaya membuka mata banyak pihak tetang kemampuan atlet kurang upaya.

Selepas menempa nama di Sukan Paralimpik 2016, ketiga-tiga anak muda ini kemudiannya terus menggalas cabaran negara di kejohanan dunia dalam edisi kali ini di London dengan impian mempertahankan kejuaraan yang diraih dua tahun lalu.

Bagaimanapun, hanya Mohamad Ziyad dan Abdul Latif berjaya mempertahankan kejuaraan mereka selain mencipta rekod dunia manakala Mohd. Ridzuan atau lebih mesra de­ngan panggilan Dik Wan terpaksa berpuas hati dengan pi­ngat perak.

Pada masa sama, Mohamad Ziyad menyumbang pingat gangsa buat kontinjen negara dalam Sukan SEA. Abdul Latif turut beraksi di dalam temasya itu tetapi tidak berjaya me­nyumbang sebarang pingat, namun mereka berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi atlet para pertama yang beraksi bersama atlet normal.

Mereka kemudian bersama rakan-rakan atlet para yang lain terus bersemangat menggalas cabaran negara dalam Sukan Para ASEAN 2017 yang berlangsung di laman sendiri dengan impian untuk terus mengharumkan nama Malaysia.

Sebelum sukan Para ASEAN bermula, berlaku insiden ngeri melibatkan atlet pa­ra negara apabila dua pelumba basikal para, Mohd. Khairul Hazwan Wahab dan jurumudi, Syafiq Suhaimy mengalami kece­deraan parah selepas terlibat de­ngan kemalangan di Lebuh Raya Kuala Selangor (LATAR) pada 7 September lalu.

Meskipun tidak mencapai sasara 103 pingat emas untuk menjadi juara keseluruhan, namun pencapaian 90 pingat emas sudah cukup membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa mereka juga mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

Selepas tamat penganjuran Sukan Para ASEAN 2017, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengakui sangat berbangga dengan pencapaian dalam edisi kali ini dengan menyifatkan ia sebagai pencapaian terbaik dalam sejarah sukan itu.

“Kita berjaya tepati sasaran muncul naib juara dan mengatasi pencapaian tempat ketiga di Singapura dua tahun lalu. Kita juga berjaya kalahkan Thailand.

“Walaupun 90 emas lari dari sasaran sebenar kita, jumlah kutipan pingat keseluruhan adalah tertinggi dalam sejarah Malaysia ambil bahagian di Sukan Para ASEAN, jadi ia sudah tentunya wajar dibanggakan.” katanya.