Perkara itu menjadi impiannya sejak kecil lagi, namun, dia sedar ia bukan satu tugas mudah untuk direalisasikan tanpa usaha dan kerja keras.

Mula menceburi sukan terjun seawal usia lapan tahun, penerjun berumur 16 tahun itu mahu terlebih dahulu mencipta namanya pada peringkat kebangsaan.

“Ya, impian saya sejak kecil adalah untuk mewakili skuad terjun Malaysia. Mungkin impian itu bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Buat masa terdekat ini, saya tidak yakin dengan prestasi saya untuk mewakili negara kerana masih banyak teknik-teknik terjunan yang perlu dipelajari.

“Bergelar sebagai seorang pelajar saya perlu membahagikan masa belajar dan latihan. Sedikit letih tetapi amat berbaloi apabila berjaya meraih pingat dalam kejohanan yang disertai,” katanya.

Kejayaan terbaiknya sepanjang bergelar penerjun adalah dengan meraih pingat gangsa dan perak pada Sukan Malaysia (Sukma) sejak 2014 hingga 2018.

Disebabkan masih belum merangkul pingat emas, pelajar Sekolah Tinggi Pin Hwa itu, meletakkan sasaran awal untuk merangkul emas dalam acara platform wanita buat kontinjen Selangor pada Sukma, tahun depan.

Berkongsi sedikit kisahnya sebelum menyertai skuad terjun Selangor, Lim Min pada mulanya sekadar mahu belajar berenang, namun, seorang jurulatih terjun, Li Boxu melihat potensinya yang mampu menjadi seorang penerjun.

“Pada awalnya saya hanya mahu belajar berenang tetapi jurulatih terjun, Li Boxu datang berjumpa ibubapa saya memberitahu badan saya sesuai menjadi seorang penerjun. Dari situ saya mula menceburi sukan terjun.

“Keluarga, kawan, jurulatih sentiasa memberi dorongan dan sokongan dalam setiap kejohanan disertai. Pernah suatu masa saya mahu berhenti daripada sukan ini kerana terlalu penat dengan sesi latihan.

“Tapi disebabkan jurulatih sentiasa memberi motivasi, selain, dorongan rakan-rakan, saya mula menyukai sukan ini dan teruskan sehingga sekarang,” ujarnya.