Mat Sport
Mat Sport

Bermula de­ngan kejayaan Azizulhasni Awang, pencapaian jaguh berbasikal itu di­ikuti pula oleh Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta Cheong Jun Hoong dalam tempoh empat bulan ini. Jadi Mat ucapkan tah­niah kepada mereka.

Belum pernah dalam sejarah sukan negara empat juara dunia dihasilkan oleh negara dalam tempoh empat bulan. Ini adalah kali pertama.

Kejayaan mereka memberikan satu implikasi besar kepada sukan negara kerana mereka telah membuktikan belanja besar yang dikeluarkan kerajaan menerusi Program Podium sudah mula membuahkan hasil.

Dari sudut lain, pencapaian mereka juga merupakan amaran awal kepada negara peserta lain menjelang Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017) bahawa Malaysia berupaya merealisasikan sasaran muncul juara keseluruhan.

Ini kerana empat juara dunia itu akan turut memperkuatkan kontinjen Malaysia dalam kempen KL2017 termasuk penyertaan kali pertama dua atlet olahraga para Muhammad Ziyad dan Abdul Latif dalam temasya Ogos ini yang akan me­nyahut cabaran beraksi dengan atlet normal lain.

Mat percaya sekiranya sasaran juara keseluruhan KL2017 dapat dicapai dan Datuk Lee Chong Wei berupaya me­raih gelaran pertama dalam Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland bulan depan maka akan melengkapkan kegemilangan sukan Malaysia dan satu sejarah buat negara.

Pencapaian lain yang dicapai atlet negara tahun ini juga wajar dipuji terutama kejayaan skuad bola sepak Bawah 22 Tahun negara yang berjaya muncul juara Kumpulan H, Kelayakan Kejohanan Bawah 23 tahun (B-23) Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok minggu lalu.

Begitu juga kejayaan atlet pecut muda negara, Khairul Hafiz Jantan memperbaharui rekod 200 meter berusia 49 tahun dalam Kejohanan Olahraga Pra Sukan SEA 2017, pada Selasa lepas.

Buat atlet negara yang lain jadikan mereka ini sebagai pembakar semangat untuk cemerlang dan pamerkan ke­ghairahan memburu pingat emas dalam KL2017.

Bagi atlet lain yang belum mempamerkan kecemerlangan, ayuh ‘Bangkit Bersama’.